fb fb fb fb fb

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur jadi hos lebih 20 acara antarabangsa tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 April- Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan menjadi hos bagi lebih 20 acara antarabangsa berprofil tinggi, 10 konvensyen dan 13 pameran mulai kini dan sehingga Disember 2022.

Menurut kenyataan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, keseluruhannya, kira-kira 117 acara perniagaan dan hiburan telah disahkan akan diadakan di tempat acara perniagaan utama itu pada 2022.

Pengurus Besar, Alan Pryor berkata pusat itu mengadakan beberapa lawatan tapak baru-baru ini untuk penganjuran persidangan antarabangsa akan datang selain menumpukan usaha membantu pelanggan, penganjur acara, pengunjung dan tetamu beralih kepada penganjuran dan menghadiri acara dan mesyuarat secara fizikal dengan selamat dan selesa.

“Kami gembira untuk mengalu-alukan pelanggan antarabangsa dan delegasi kembali ke pusat konvensyen ini selepas berehat panjang. Mesyuarat dan pameran antarabangsa adalah penting buat Malaysia dan juga kepada sektor hospitaliti dan acara perniagaanya,” katanya dalam kenyataan yang sama hari ini.

Beliau berkata pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia akan memacu pemulihan ekonomi negara ini, namun pusat konvensyen itu kembali kepada landskap acara perniagaan yang sukar memandangkan urusan atau hal ehwal perniagaan keseluruhannya suram sekali gus menjadikan persaingan lebih sengit dan perang harga semakin agresif.

(Pusat Konvensyen Kuala Lumpur)

Malaysia memerlukan dasar dan strategi kukuh serta yang menambat minat untuk memanfaatkan cadangan nilai menarik destinasi itu bagi menonjolkan kelebihan negara ini berbanding pesaing di negara jiran di samping membantu menarik lebih banyak acara antarabangsa datang ke Malaysia, katanya.

Antara acara antarabangsa yang akan dihoskan oleh Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ialah Kongres Antarabangsa mengenai Penyakit Berjangkit 2022, Persidangan Antarabangsa Pertanian Tropika 2022, Simposium Geosains dan Penderiaan Jauh Antarabangsa 2022 serta Simposium Turbo Mesin dan Pam Asia 2022.

Media Baharu