KUALA LUMPUR, 14 April - Individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi disyor mendapatkan dos penggalak kedua.
Ini termasuk golongan warga emas yang berada bawah fasiliti penjagaan jangka panjang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat selepas penelitian daripada Panel Kumpulan Kerja Teknikal (TWG).
"Kajian menunjukkan individu berumur 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, jantung, buah pinggang, penyakit hati dan diabetis, berisiko lebih tinggi mendapat gejala serius dan kematian akibat COVID-19," katanya dalam sidang media khas di Parlimen hari ini.
Menurutnya, dos penggalak kedua ini boleh diberikan dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.
"Ingin saya jelaskan bahawa ia tidak wajib, ini pilihan kepada mereka, kepada individu 60 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi.
"Kita akan umumkan bagaimana hendak buat temujanji dan sebagainya. Ini hanya option kepada mereka, bukan kita buat program PICK seperti dahulu," kata beliau.
(Khairy pada sidang media di Parlimen hari ini)
Jelas Khairy, bagi individu berumur 60 tahun dan ke atas yang telah lengkap mengambil dos penggalak dan didapati mengalami jangkitan COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua, tiga bulan selepas pulih sepenuhnya.
Walau bagaimanapun pelaksanaan syor terbaharu ini tidak akan menjejaskan status vaksinasi lengkap individu berisiko tinggi yang tidak mengambil dos penggalak kedua tersebut.
Pihaknya kini sedang mengemaskini Garis Panduan Klinikal yang akan memperincikan perlaksanaan tersebut.
Selain itu, Khairy turut memaklumkan individu berumur 12 tahun dan ke atas boleh diberikan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.
Tambahnya, buat masa ini, vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech) merupakan vaksin yang disyorkan bagi dos penggalak kedua berdasarkan data saintifik yang tersedia.