fb fb fb fb fb

Bekalan benih padi sah di Kedah stabil

ALOR SETAR, 14 April - Tiada isu kekurangan bekalan benih padi sah di Kedah.

Bekalan benih padi sah di negeri itu berada dalam keadaan stabil dan boleh diperolehi dari mana-mana peruncit yang diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras.

Ia hasil “Ops Benih” yang dijalankan oleh Seksyen Kawalselia Padi Dan Beras, Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Operasi tersebut bertujuan memeriksa bekalan dan pengedaran benih padi sah di negeri Kedah serta pematuhan Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (Penetapan kawalan pemasaran dan harga jualan maksimum benih padi sah).

Operasi melibatkan pemeriksaan di peringkat pengeluar, pemborong, dan peruncit benih padi sah di seluruh negeri itu.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Kedah, Azman Nasruddin berkata, secara keseluruhannya pengeluar, pemborong dan peruncit mematuhi peraturan yang telah ditetapkan serta mematuhi harga maksimum di ditetapkan iaitu RM31 di peringkat borong, manakala RM35 di peringkat runcit bagi setiap kampit, 20 kilogram.

Beliau berkata aktiviti pengedaran benih padi sah ketika ini sedikit perlahan walaupun musim tanaman padi sudah bermula sejak Mac lalu.

Ia berkemungkinan disebabkan musim tanaman padi kali ini pada bulan Ramadan, kebanyakkan petani menangguhkan aktiviti penanaman padi tersebut.

Bagaimanapun, petani disaran untuk mendapatkan benih padi walaupun tidak menjalankan aktiviti penanaman padi pada bulan ini.

Ia bagi mengelakkan pembelian serentak dimana dikhuatiri berlaku eksploitasi harga benih padi apabila berlaku permintaan tinggi.

Oleh itu, beliau berharap petani dapat membeli benih-benih padi bermula sekarang sebagai simpanan bagi mengelakan berlaku kekalutan.

Sementara itu, pihak Kawalselia Padi Dan Beras juga akan menyantuni petani selepas raya iaitu semasa musim penanaman kembali aktif.

Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan negeri Kedah, Abdul Rahman Tajudin berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyembunyikan benih padi dari pasaran.

"Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan oleh Kementerian ini", katanya.

Tambahnya, orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha memastikan bekalan dan harga benih padi sah terkawal.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat boleh mengemukakan aduan ke Pejabat Kawalselia Padi Dan Beras berhampiran", katanya.

(Pemeriksaan di salah sebuah kilang pengeluar benih padi sah di Kedah)

Media Baharu