fb fb fb fb fb

Isu harga tambang: Tingkatkan frekuensi penerbangan ke Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 15 April - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, ia juga termasuk pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.

"CAAM sudah pun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan.

"Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan," katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Ka Siong turut meminta MAVCOM dan syarikat-syariakt penerbangan menjalankan siasatan secara terperinci dengan segera dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.

Kenaikan harga tambang ini katanya disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga bahan api.

Mekanisme penetapan harga dinamik yang menggunakan Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) juga proses penentuan harga tambang, bukan secara manual untuk menaikkan harga seperti yang didakwa.

(Wee Ka Siong, mempengerusikan mesyuarat khas bersama pihak MOT, MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)
serta syarikat-syarikat penerbangan domestik bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat/FOTO Facebook Wee Ka Siong)

Jelasnya lagi, syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik COVID-19.

"Pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih atau MRO (maintenance, repair, overhaul) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat," katanya.

Tambahnya, setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik dan permintaan meningkat daripada pengguna, syarikat penerbangan akan memerlukan lebih banyak masa dan alat gantian untuk kesiap-siagaan pengoperasian semula.

"Kami komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

"MOT melalui MAVCOM akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai hasil perbincangan dengan semua syarikat penerbangan dalam tempoh terdekat," katanya yang menjawab isu kenaikan mendadak harga tambang penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Media Baharu