fb fb fb fb fb

Pindaan Akta TAT ke Parlimen tahun ini - Hishammuddin

(Hishammuddin bercakap kepada media hari ini)

KUALA LUMPUR, 14 April - Pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera (TAT) akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda tahun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ini bagi membolehkan tabung persaraan itu yang diuruskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurutnya, Kabinet sudah memberi kelulusan secara prinsip dan ia akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini juga.

Pindaan itu juga bagi membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan.

"Insya-Allah dalam sesi akan datang pindaan kepada Akta Tabung Angkatan Tentera pertamanya untuk memberikan fleksibiliti agar pencarum tentera boleh memilih untuk meningkatkan kadar caruman syer pekerja individu lebih daripada 10% dan kedua membenarkan pencarum memilih untuk terus menabung dengan LTAT walaupun sudah tamat perkhidmatan," katanya.

(Hishammuddin pada majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022) 

Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022 di Auditorium, Kementerian Pertahanan, di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya dalam pelbagai bentuk kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Daripada 77 penyumbang, 11 membuat sumbangan berbentuk barangan manakala 66 lagi memberi sumbangan berbentuk kewangan dengan nilai keseluruhan lebih RM1.8 juta.

Media Baharu