fb fb fb fb fb

Pusat Komuniti Islam pemangkin pembangunan sosial

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar merasmikan TRX International Community Centre di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Pusat Komuniti Islam perlu memainkan peranan lebih daripada sekadar tempat ibadah, sebaliknya menjadi nadi pentadbiran, pendidikan serta pembangunan sosial masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, Pusat Komuniti Islam juga berfungsi sebagai ruang inklusif yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, selain meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Pusat komuniti ialah hab yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Masjid atau pusat komuniti yang hidup dengan program dan aktiviti mencerminkan dinamika serta kejayaan umat. Apabila ibadah disokong dengan pendidikan, pembangunan kemahiran dan sokongan sosial, ia mampu menjadi enjin penggerak bagi pertumbuhan holistik masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan TRX International Community Centre (TICC) di ibu negara.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut menggesa agar kelulusan pusat berkenaan sebagai lokasi solat Jumaat dipercepatkan, memandangkan ia mampu menampung lebih seribu jemaah pada satu-satu masa.

Turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail, serta Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn. Bhd., Datuk Azmar Talib.

TUN JULIA MOHD TAHIR