fb fb fb fb fb

Pusat Kelestarian Johor (JSC) perkasa rancangan Pelan Pembangunan Hijau

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah berkenan mencemar duli menghadiri Asia Pacific Climate Week 2023 di Persada Johor, di sini, hari ini.

JOHOR BAHRU, 13 November- Pusat Kelestarian Johor (JSC) ditubuhkan sebagai usaha memperkasa rancangan pelan pembangunan Johor Hijau untuk melestarikan alam sekitar.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah, JSC bekerjasama rapat dengan banyak universiti yang berperanan  penting dalam menangani perubahan iklim.

Titahnya, kerjasama dengan universiti bukan sahaja melibatkan penyelidikan, pembangunan dan inovasi, tetapi juga memupuk kesedaran tentang perubahan iklim dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

JSC akan berfungsi sebagai saluran penyelidikan bagi tujuan menasihati kerajaan negeri mengenai pembangunan hijau.

"Selain itu, JSC juga akan menjadi platform utama untuk kerjasama strategik antara organisasi tempatan dan antarabangsa dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan inisiatif hijau," katanya.

Baginda bertitah ketika berkenan mencemar duli merasmikan Asia Pacific Climate Week 2023 di Persada Johor, di sini, hari ini.

Persidangan turut dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan exco kerajaan Johor.

Seramai 2,000 delegasi daripada 102 negara hadir ke APCW 2023 yang julung kali diadakan di Malaysia.

ZEHRA BINTI ZAMBRI