fb fb fb fb fb

Cadangan naik harga BPT tidak relevan buat masa ini - Pakar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 November- Cadangan untuk menaikkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) sebanyak 60 sen iaitu daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram bukan satu langkah yang relevan buat masa ini.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpandangan, untuk jangka panjang program keselamatan makanan perlu diberi fokus untuk menambahkan hasil pengeluaran beras tempatan.

"Apa yang kita perlukan hari ini ialah kesejahteraan rakyat dan mereka inginkan harga yang kekal rendah untuk membolehkan terus hidup dengan sejahtera.

"Dan mungkin kita perlu terus kepada rancangan jangka pertengahan dan panjang dalam program keselamatan makanan, menambahkan lagi pengeluaran beras tempatan.

"Kita hanya memerlukan 38 peratus lagi BPT dan kalau kita mempunyai cukup pengeluaran tempatan, kita boleh sebenarnya mengekang import beras-beras luar negara," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau juga berpendapat, struktur perniagaan beras di Malaysia perlu dirombak bagi memastikan tidak ramai orang tengah yang terlibat.

Terdahulu, badan Kawalselia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya akan meneliti syor berkenaan dan akan membincangkan perkara itu bersama beberapa kementerian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM