fb fb fb fb fb

Pusat Biodiversiti Malaysia bakal ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Pusat Biodiversiti Malaysia bakal ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pengukuhan pengurusan biodiversiti penting sebagai senjata dalam mematahkan kempen-kempen negatif pihak luar bagi mencemar nama baik negara, yang turut memberi kesan kepada sektor perladangan dan komoditi negara.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN) hari ini memaklumkan mesyuarat itu yang dihadiri menteri persekutuan, menteri besar, ketua menteri, ketua setiausaha negara dan 11 ahli majlis mensyuarat, membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan.

Sebanyak tiga Kertas Pertimbangan dan empat Kertas Makluman merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah dibentangkan. MBN bersetuju dengan Terma Rujukan Majlis Biodiversiti Negara; penyelarasan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025; dan penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) sebagai badan berkanun bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia," kata Fadillah.

Tambah beliau mengenai penyahutanan bagi tujuan penanaman sawit, Malaysia masih di bawah paras yang ditetapkan iaitu 5.6 juta daripada 6.5 juta hektar.

Bersempena mesyuarat MBN, beliau turut melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine bagi menghubung, mengekalkan, memelihara dan memulihara kawasan-kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung di kawasan Central Forest Spine (CFS).

(Datuk Seri Fadillah berkata Pusat Biodiversiti Malaysia bakal ditubuhkan)

Media Baharu