fb fb fb fb fb

Pertukaran Pandu Puteri Malaysia-Singapura perkukuh hubungan rakyat

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Saranan untuk mengadakan pertukaran yang lebih besar antara pergerakan Pandu Puteri Malaysia dan Singapura wajar disokong.

Presiden Singapura, Halimah Yacob berkata, pertukaran itu penting dalam mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.

Jelas beliau, saranan itu dibuat oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semasa lawatan baginda ke Pandu Puteri Singapura Oktober tahun lepas.

“Apabila teknologi semakin mengecilkan dunia kita, rangkaian rakan dan mentor transnasional akan menjadi sumber yang hebat.

Justeru, saya amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda yang menyarankan pertukaran lebih besar, pertukaran itu boleh memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat yang telah lama terjalin dan hubungan dua hala kedua-dua negara yang lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berucap semasa mengadakan lawatan ke Wisma Pandu Puteri, di sini.

(Halimah Yacob, Presiden Singapura)

Halimah yang dalam rangka lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia juga berkata beliau gembira melihat kemajuan hubungan pergerakan Pandu Puteri kedua-dua negara yang semakin berkembang.

Sebagai Penaung Pandu Puteri Singapura, beliau memaklumkan, pergerakan Pandu Puteri amat dekat di hatinya kerana ia bukan hanya mendedahkan wanita muda dengan rasa keakraban, tetapi memberi inspirasi kepada mereka untuk aktif dalam masyarakat.

Presiden itu juga kagum apabila mengetahui aktiviti kreatif yang kerap dianjurkan Persatuan Pandu Puteri Malaysia untuk ahli-ahlinya bagi semua peringkat umur.

Media Baharu