(Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 27 Mei- Pemupukan nilai membaca dalam masyarakat penting ke arah merealisasikan Malaysia Madani.
Ia senada dengan konsep pertama dan kedua aspirasi itu, iaitu ‘Kemampanan’ dan ‘Kesejahteraan’.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim budaya membaca juga perlu dimulakan secara serius di peringkat ibu bapa.
"Budaya membaca ini budaya iqra', maknanya tradisi membaca dan ilmu itu sebati dan serasi dengan kefahaman kita tentang Islam.
"Negara Malaysia dan Malaysia Madani tidak mungkin terangkat tanpa akhlak, tanpa nilai dan tanpa kesediaan anak-anak untuk membudayakan ilmu melalui pembacaan yang luas.
"Media sosial saya tidak boleh pertikai kepentingannya tetapi percayalah kalau nak menjadi manusia dan insan yang ada nilai, akhlak berilmu mesti mulakan tradisi membaca secara serius," katanya.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perasmian Pesta Buku
Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini/Foto Bernama)
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Program yang berlangsung selama 10 hari hingga 4 Jun itu menyasarkan 900,000 pengunjung dan menghimpunkan 211 syarikat pempamer dalam industri perbukuan dari dalam dan luar negara seperti China.
Majlis Buku Kebangsaan terima penglibatan besar delegasi China
Sementara itu, Anwar berkata penglibatan besar delegasi China dalam Majlis Buku Kebangsaan bukti peningkatan persahabatan antara Malaysia dan republik itu.
"Majlis Buku Kebangsaan kali ini mendapat penyertaan besar, delegasi yang besar dari republik China dan ini menunjukkan satu kesediaan persahabatan yang meningkat di antara kita dan negara China.