fb fb fb fb fb

Awang Askandar, pegawai contoh, komited dalam tugas

(Jenazah Awang Askandar disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benon Papar)

KOTA KINABALU, 27 Mei- Jenazah pendaki Everest, Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat disemadikan pukul 5.20 petang tadi.

Sejurus tiba di kargo MAS Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pukul 2.20 petang, jenazah dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Benoni, Papar untuk penghormatan terakhir oleh keluarga terdekat serta pengurusan tertinggi APM.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Jamek As Salam, Kampung Benon.

Jenazah Allahyarham Awang Askandar yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah itu disemadikan bersebelahan dengan pusara ibunya, Dg Fatimah Ag Ampuan Jair.

Ucapan takziah dan doa agar keluarga Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar terus tabah, menghadap ujian daripada Allah disampaikan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada Pejabat Kedutaan Besar di Kathmandu semua pihak yang terlibat membantu dan mengurus untuk membawa pulang jenazah Allahyarham yang telah meninggal pada 20 Mei dan mengambil masa lima hari untuk dibawa turun daripada Gunung Everest.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang turut membantu memudahkan urusan Allahyarham.

"Bagi pihak Kementerian Luar Negeri dan juga Wisma Putra, saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang memberi sumbangan sama ada secara tidak langsung atau tidak,"katanya.

Tambahnya, segala proses adalah amat lancar dan beliau berpuas hati sepanjang operasi membawa turun jenazah Allahyarham.

Turut kelihatan bersama-sama menanti jenazah Allahyarham tiba petang tadi, abang Allahyarham , pemimpin setempat serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Armizan Ali.

Sementara itu, urusan berhubung kelayakan perjawatan dalam sektor kerajaan, pengurusan insuran serta bantuan kepada keluarga jenazah Pendaki Everest, Allahyarham Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub dalam perhatian pihak kerajaan.

Datuk Armizan Ali berkata, menjadi keutamaan pihak kerajaan untuk membantu keluarga Allahyarham dalam pengurusan keluarga sama ada dalam jangka pendek dan jangka panjang, terutama pendidikan anak-anak Allahyarham.

"Kita amat prihatin dengan kebajikan keluarga Allahyarham, isteri dan anak-anak dan arwah ini mempamerkan satu semangat, komitmen dan iltizam yang cukup tinggi bukan hanya sekadar sebagai penjawat awam tetapi merupakan contoh kakitangan pegawai APM yang begitu komited, ini merupakan misi ke-4 beliau dalam ekspedisi Everest bermula pada tahun 2019,"kata Datuk Armizan.

Tambahnya, penglibatan Allahyarham dalam empat siri Gunung Everest juga mempamerkan semangat ‘Malaysia Boleh’ yang melambangkan satu semangat kental daripada seorang penjawat awam.

Jelasnya lagi, misi pasukan Allahyarham tahun ini turut mendapat sokongan dan sempat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen sebelum memulakan misi mereka yang terdahulu telah dilancarkan Menteri Sukan Malaysia, Hannah Yeoh.


Media Baharu