fb fb fb fb fb

Pulihara tanah lembap memberi impak besar dalam melindungi ekosistem negara

PONTIAN, 3 Februari - Tanah yang lembap mempunyai nilai pemuliharaan yang tinggi dalam melindungi ekosistem negara daripada bencana seperti ribut, banjir dan hakisan tanah.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai penstabil cuaca tempatan dan menyerap karbon.

Tapak Ramsar berfungsi bagi memastikan tanah lembap dipulihara dan diguna secara bijak di peringkat antarabangsa.

Malaysia telah mendaftarkan tujuh kawasan sebagai Tapak Ramsar iaitu di Tasek Bera di Pahang, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai di Johor, Kuching Wetland National Park di Sarawak, Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands di Sabah.

Tapak-tapak ini dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman negeri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Menurut Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Lili Tokiman, Tanjung Piai diistiharkan sebagai Tapak Ramsar pada 31 Januari 2003 dengan kawasan hutan bakau pinggir pantai berkeluasan 526 hektar.

"Kalau menurut kajian awalan, semasa kita nak menjalankan Tapak Ramsar ini adalah yang pertamanya disebabkan oleh kawasan tanah lembap itu sendiri yang semakin pupus dan yang keduanya ia mempunyai kepelbagaian biodiversiti hutan bakau yang tinggi, di mana kita ada 29 spesis hutan bakau dan kawasan ini juga penting untuk kawasan persinggahan burung-burung hijrah," ujar beliau ketika berucap kepada media.

Sempena ulang tahun ke-51 penubuhan Konvensyen Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa atau lebih dikenali sebagai Konvensyen Ramsar, kempen Hari Tanah Lembap telah di adakan tahun ini yang memfokuskan tiga mesej utama iaitu Nilai, Pengurusan, Pemuliharaan serta Pelihara.

Media Baharu