KUALA LUMPUR, 3 Februari- Pengusaha dalam bidang komersial dan industri disaran menggunakan jentera berkualiti tinggi dari segi pengeluaran dan penjanaan elektrik yang lebih baik.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin berkata, cadangan itu bagi tujuan penjimatan elektrik sekali gus mengurangkan kos operasi premis dan penghasilan produk bermutu tinggi.
"Kita mencadangkan kepada pengguna-pengguna industri supaya menggunakan jentera bertaraf "5A" atau lima bintang untuk mengurangkan tenaga elektrik dan menjadi pengeluar yang lebih efisien," katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menyokong usaha kerajaan dalam menggunakan tenaga boleh baharu bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember tahun lalu, terdapat peningkatan kos bahan api dan penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran.