KUALA LUMPUR, 3 Februari - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/Unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma atau setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan itu dibuat mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.
Permohonan kemasukan akan dibuka mulai esok hingga 31 Mac 2022.
"Sehubungan dengan itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
"Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID di Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi berharap agar keputusan ini dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.