fb fb fb fb fb

Op Selamat 17: Polis Perak keluarkan 9,634 saman

IPOH, 3 Februari - Sebanyak 9,634 saman dikeluarkan polis Perak sepanjang lima hari pelaksanaan Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina sejak Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata ia membabitkan pelbagai kesalahan antaranya memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu dan insuran tamat tempoh.

"Tindakan penguatkuasaan juga ditingkatkan sepanjang Op Selamat bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang. Jumlah saman yang dikeluarkan setakat hari ke-5 dalam tempoh Op Selamat 17/2022 ini ialah sebanyak 9,634. Antara kesalahan tertinggi memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, tiada lesen memandu dan insuran tamat tempoh," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Operasi Khas Bas Ekspres bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Amanjaya Meru Raya di sini malam tadi.

Tambah Azizan, sepanjang tempoh Op Selamat 17 ini juga, angka kemalangan sebanyak 585 berbanding 608 pada Op Selamat 16.

"Walaupun berkurang 4%, namun jumlah kemalangan maut meningkat sebanyak enam kes berbanding dua kes pada Op Selamat 16," katanya.

Sementara itu, daerah yang mencatatkan kemalangan tertinggi adalah Ipoh, Taiping dan Tapah.

Manakala kebanyakan kemalangan berlaku membabitkan kereta sebanyak 425, motosikal (56) dan kenderaan pelbagai guna (31).

Media Baharu