KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Bekalan telur di Terengganu bagi gred tertentu adalah terhad susulan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar kepada pemborong dan premis jualan ketika ini berkurangan 50 peratus daripada biasa.
Ini sekali gus, menolak dakwaan bahawa bekalan telur di negeri tersebut kehabisan stok.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata masih terdapat bekalan telur namun bagi gred-gred tertentu bilangannya agak terhad.
"Ini kerana terdapat pengguna memberi tumpuan kepada pembelian satu-satu gred telur sahaja. Tambahnya, kekurangan stok telur bagi gred tertentu ketika ini adalah isu nasional yang berkait dengan beberapa faktor", katanya.
Ini termasuk peningkatan harga makanan ternakan dan cuaca yang turut dihadapi kebanyakan negeri.
Katanya, kekurangan stok bekalan telur turut dipengaruhi permintaan yang meningkat kerana musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Justeru, terdapat pasar raya membuat kawalan kendiri dan mengehadkan jumlah pembelian.