fb fb fb fb fb

Utamakan aspek keselamatan, elak kejadian berulang

BESUT, 3 Februari - Pengusaha atau pengendali bot diingatkan supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan penumpang dipatuhi bagi mengelak insiden pelanggaran bot berulang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata aspek keselamatan di kawasan perairan perlu dipatuhi dan diberikan keutamaan sepanjang masa.

Katanya, pengabaian aspek keselamatan seperti membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan, selain tidak mementingkan pemakaian jaket keselamatan boleh mengundang pelbagai risiko.

"Kita berasa sedih dengan perkara tersebut dan kita mohon perkara ini dijadikan iktibar sebaik mungkin, kita ambil pengajaran khususnya kepada semua penggiat dan pemain industri khususnya yang melibatkan bot pelancong supaya mematuhi apa jua peraturan, SOP, apa jua undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib", katanya.

Isnin lalu, bot pelancong dari Pulau Perhentian yang membawa 29 penumpang, dilaporkan berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berhampiran jeti.

Ketika ini tujuh penumpang bot pelancong yang terdiri daripada dua orang dewasa dan lima kanak-kanak berusia empat hingga 70 tahun masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Justeru, beliau meminta semua pihak mengambil kejadian itu sebagai iktibar terutama dalam kalangan penggiat industri agar patuh peraturan ditetapkan.

Media Baharu