fb fb fb fb fb

PICKids program sukarela, tiada sekatan kepada kanak-kanak tidak divaksin

KUALA LUMPUR, 3 Februari - Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang bermula hari ini adalah program secara sukarela dan tiada sekatan kepada yang tidak divaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata tiada apa-apa syarat wajib ditetapkan kepada ibu bapa kerana Kementerian Kesihatan (KKM) hanya ingin membina keyakinan ibu bapa agar mereka tampil untuk mendaftar anak masing-masing mendapatkan vaksin COVID-19.

"Untuk kanak-kanak mereka tiada syarat kelonggaran dan sebagainya kerana kalau kita meletakkan syarat hanya kanak-kanak yang lengkap vaksin boleh diberi kebebasan dan kelonggaran maka itu dilihat bukan secara sukarela lagi tetapi sedikit dan lebih menggalakkan. Kita tidak ada kenakan apa-apa syarat seperti mana orang dewasa," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan vaksin yang digunakan iaitu PfizerBioNTech adalah vaksin Comirnaty formulari khas untuk kanak-kanak dan telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia selain disahkan selamat dan mempunyai efikasi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan teruk COVID-19.

"Vaksin Pfizer ini selain daripada kelulusan yang diberikan di peringkat negara-negara lain seperti FDA, Singapura, Australia dan sebagainya, kita sendiri telah melakukan kajian terhadap data-data keselamatan dan keberkesanan bawah MPRA (Bahagian Regulasi Farmasi Kementerian Kesihatan) dan di bawah kumpulan kerja teknikal KKM. Kita juga telah memberi kelulusan dan mengesorkan bahawa vaksin ini selamat untuk digunakan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata sebanyak 26 kematian direkodkan dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 dalam tempoh enam bulan lalu.

"Mengambil kira prinsip 'tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat', Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat kepada vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak. Data berhubung jangkitan COVID-19 ke atas kanak-kanak yang dikumpul oleh KKM mendapati dalam tempoh enam (6) bulan yang lalu, seramai 147,282 kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun yang belum layak divaksinasi telah dijangkiti COVID-19 dan sebanyak 26 kematian dilaporkan," tambah beliau.

Media Baharu