fb fb fb fb fb

PICKids: Sela masa dos pertama dan kedua ditetapkan selama lapan minggu


KUALA LUMPUR, 3 Februari- Sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dibuat bersandarkan kepada beberapa asas tertentu termasuk kesan sampingan vaksinasi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata syor itu telah ditetapkan oleh kumpulan pakar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas meneliti data pelbagai negara.

"Walaupun ada negara sela masa adalah lagi singkat, tetapi kita telah pun kaji perkara ini dan mengambil kira keyakinan orang ramai, ibu bapa dan juga usaha untuk mengurangkan kesan sampingan, maka telah dibuat ketetapan sela masa lebih panjang," jelas Khairy dalam sidang media selepas melancarkan PICKids di Hospital Tunku Azizah di sini hari ini.

Tambanya, ketetapan sela masa lebih panjang dilaksanakan kerana mahu kesan perlindungan imunisasi yang lebih baik dan berkesan.

"Kajian mengenainya telah dilakukan oleh kumpulan pakar KKM," katanya.

Untuk rekod beberapa negara di dunia memperuntukkan sela masa pemberian dos primer yang lebih singkat kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Media Baharu