TASEK GELUGOR, 2 November- Pulau Pinang menyasarkan 100 peratus penubuhan Maker Lab baharu di sekolah-sekolah seluruh negeri,menjelang tahun 2026.
Matlamat itu sebagai usaha memperkukuh pendidikan digital dan memperkasakan penguasaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang serta sokongan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan syarikat korporat bagi mengenal pasti sekolah-sekolah yang memerlukan kemudahan tersebut.
"Fokus utama tahun ini adalah untuk menyalurkan bantuan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi penyediaan papan pintar dan tablet. Inisiatif ini selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Makmal Pembuat (Maker Lab) di setiap sekolah di Pulau Pinang.
Kami akan bekerjasama dengan pihak korporat serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk membantu JPN mengenal pasti dan menambah Maker Lab di daerah-daerah yang masih kekurangan kemudahan tersebut," kata Datuk Dr. Mohamad kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival EduTechX 2025: Digital Education Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, di sini.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Dziauddin Mat Saad.
Karnival berlangsung selama tiga hari sehingga 4 November, menawarkan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran teknologi pendidikan, pertandingan digital, bengkel kecerdasan buatan (AI) serta inovasi guru dan pelajar.
Setakat ini, 136 daripada 396 sekolah di seluruh Pulau Pinang mempunyai kemudahan tersebut.