fb fb fb fb fb

Malaysia terajui pembangunan AI serantau, Johor jadi hab utama

Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serantau dengan Johor muncul sebagai hab utama negara/RTM

GYEONGJU, 2 November – Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam pembangunan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serantau dengan Johor muncul sebagai hab utama negara dalam bidang berkenaan.

Kemajuan itu didorong oleh kestabilan politik serta dasar kerajaan yang mesra pelabur, sekali gus membolehkan pelaksanaan pelbagai projek dan infrastruktur AI berskala besar demi manfaat rakyat.

 Antara inisiatif utama ialah pembangunan Pusat Data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor, hasil kerjasama antara YTL Power International Berhad dan NVIDIA.

Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata operasi pusat data itu berkembang pesat dengan fasa pertama melibatkan kapasiti 300 megawatt telah siap sepenuhnya.

Menurutnya, pusat data tersebut dijangka mencapai kapasiti penuh 600 megawatt dalam tempoh dua tahun lagi.

0211 APEC BANGUN AI 2Datuk Seri Yeoh Seok Hong/BERNAMA

“Ini amat mengujakan kerana Malaysia kini memiliki kuasa pengkomputeran sepenuhnya melalui cip NVIDIA yang sudah beroperasi di Pusat Data Kulai. Kita juga mempunyai model bahasa besar (LLM) sendiri yang dinamakan ILMU. Ini bermaksud Malaysia kini berkeupayaan membangunkan AI berdaulatnya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa landsakap AI Berdaulat Malaysia telah mencatat kemajuan pesat dalam tempoh 22 bulan sejak 2023, sekali gus mempercepat pelaksanaan agenda AI Malaysia demi manfaat rakyat dan masa depan ekonomi MADANI.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN