fb fb fb fb fb

UniSZA manfaat dana RM2 juta, pacu projek pertanian Vitato

Ubi keledek Vitato

KUALA NERUS, 2 November- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan membangunkan sektor pertanian dengan peruntukan RM2 juta daripada Jabatan Pertanian Terengganu bagi melaksanakan projek penanaman ubi keledek vitato.

Dana itu untuk penyediaan dan pembangunan tanah dengan penglibatan aktif pelajar dan masyarakat setempat berasaskan teknologi moden dan amalan lestari.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr. Fadzli Adam berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama beberapa rakan industri dan institusi kewangan bagi memperkukuh aspek latihan, pembiayaan dan pemasaran hasil pertanian.

Kerjasama tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam sektor agro makanan, malah melatih mereka menjadi usahawan tani berpengetahuan tinggi yang mampu mengurus ladang secara profesional dan mampan.

"Pada tujuan asalnya, elemen pertanian ini adalah bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat UniSZA. Namun, akhirnya kami bekerjasama dengan beberapa entiti, termasuk UniSZA Holding, anak syarikat di bawah universiti, untuk mengubahnya menjadi satu model perniagaan yang menawarkan keuntungan lebih besar.

Usaha ini kini sedang giat diusahakan antara pihak fakulti dan UniSZA Holding Sdn Bhd," kata Profesor Datuk Dr. Fadzli kepada pemberita.

Setakat ini, beberapa produk hiliran berasaskan ubi vitato berjaya dihasilkan antaranya kerepek ubi dan rempeyek.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM