KUANTAN, 2 November – Program Temu Anwar @ Pahang yang dijadual berlangsung pada 12.30 tengah hari di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Gambang hari ini terpaksa dibatalkan.
Pembatalan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan oleh pasukan perubatan agar berehat, susulan mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakannya terbatas.
Tinjauan RTM di UMPSA mendapati, program yang dibatalkan itu digantikan dengan Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen Ke-20 UMPSA.
Beberapa penuntut dan pihak pengurusan universiti yang ditemui melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat bertemu dengan Perdana Menteri, namun tetap mendoakan agar beliau segera sembuh.
Fatimah Syazwina Maslan/RTM
“Saya bersama urusetia telah berusaha lebih sebulan untuk menjayakan program ini sebaik mungkin. Namun disebabkan masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan, kami agak kecewa. Walau bagaimanapun, kami amat berharap YAB Perdana Menteri dapat turun semula ke sini pada masa akan datang dan kami mendoakan kesihatan yang baik untuk beliau,” kata Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Fatimah Syazwina Maslan.
“Hari ini saya agak kecewa, tapi mungkin Allah tidak mengizinkan Perdana Menteri kita hadir kerana beliau terlalu sibuk, baru selesai Sidang ASEAN dan lawatan ke Korea. Mungkin ada hikmahnya, dan kami warga UMPSA serta rakyat Pahang akan terus mendoakan kesihatan beliau supaya kembali kuat seperti biasa,” kata penuntut UMPSA, Muhammad Zulfadlie Mohd Zainizam.
Muhammad Zulfadlie Mohd Zainizam/RTM
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, berkata pihak universiti memahami keadaan kesihatan Perdana Menteri dan menghargai keprihatinan beliau yang menghubungi sendiri pihak pengurusan untuk memohon maaf.
Profesor Dr. Yatimah Alias/RTM
“Atas faktor kesihatan dan nasihat doktor agar beliau tidak membuat perjalanan, kami amat menghargai makluman yang diberikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar pagi tadi. Insya-Allah, beliau menyatakan hasrat untuk berjumpa warga Pahang dalam sesi Temu Anwar pada masa akan datang,” katanya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, turut menzahirkan doa agar Perdana Menteri terus berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha/RTM
“Kami berasa berduka kerana YAB Perdana Menteri tidak dapat hadir, namun kami sentiasa mendoakan kesihatan beliau agar sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah,” katanya.