SEGAMAT, 2 November - Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 disifatkan sebagai pencapaian luar biasa yang membuktikan kemampuan negara menganjurkan sidang kemuncak bertaraf global.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia turut mencerminkan keyakinan kuasa besar dan pemimpin dunia terhadap dasar luar Malaysia serta peranan aktif negara dalam memudah cara proses pendamaian.
Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN turut mengukuhkan keyakinan sektor perkhidmatan awam terhadap kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Kita telah buktikan dalam tiga tahun terakhir, bukan sahaja kerajaan boleh bertahan, tetapi kita boleh mengawal dan kita boleh memimpin negara. Dan, Perdana Menteri adalah orang yang sangat berpengalaman, bukan sahaja dalam kerajaan tetapi dalam hal perhubungan antarabangsa."
" Saya fikir implementasi yang berjaya dan organisasi Asean Summit (Sidang Kemuncak ASEAN) telah memberi lebih banyak kepercayaan kepada pegawai awam, " katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025 di sini, hari ini.
Tambah Loke, hubungan erat Malaysia dengan kuasa besar semasa persidangan tersebut juga, membuka lebih banyak peluang perdagangan, termasuk pasaran baharu seperti Brazil dan Afrika Selatan.
“Apabila eksport dapat diperluas ke seluruh dunia, ini sudah tentu menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya di Johor yang kini menjadi tumpuan dunia,” katanya.