KUALA LUMPUR, 2 November- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengangkat tema ‘Membina Adab’ bagi program Dakwah Negara sepanjang bulan ini sehingga Disember depan.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata pihaknya menyasarkan hampir 1,000 program seperti seminar, dialog dan simposium bakal dilaksana di peringkat negeri dan negara.
"Kita berhadapan dengan isu adab yang semakin pudar dalam masyarakat. Justeru, amat penting untuk kita membina generasi yang beradab dan meletakkan tema adab sebagai intipati dalam kehidupan seharian. Bagi mencapai matlamat ini, kami telah menganjurkan Program Nunsa Dakwah.
Program ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti ceramah, aktiviti di masjid dan juga solat (atau aktiviti) komuniti, yang akan dilaksanakan sepanjang bulan ini," kata Datuk Dr. Hasan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Rakan Siswa YADIM 2025 di ibu negara.
Antara program terbesar yang bakal dianjurkan ialah Majlis Sama' Hadith-Hadith Muslim yang bakal menghimpunkan para ulama terkenal dalam dan luar negara pada pertengahan November ini.
Konvensyen tahunan itu menghimpunkan hampir 400 perwakilan pimpinan Rakan Siswa YADIM dari IPTA, IPTS, IPGM dan Politeknik dari seluruh negara.
Turut hadir bagi memberi inspirasi kepada para peserta ialah aktivis kemanusiaan Sumud Nusantara, Ilya Balqis Suhaimi yang berpandangan, ilmu adalah kunci utama perlu ada dalam diri seorang pendakwah.
"Apabila ada ilmu, kesedaran akan terbit dan dari kesedaran itu bermulalah perjuangan. Justeru, bagi memperjuangkan isu-isu seperti di Bumi Syam, Syria dan Palestin, saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang relevan.
Saya percaya bahawa alat teknologi, seperti telefon bimbit yang kita gunakan, adalah medium dakwah yang sangat menarik dan boleh digunakan dengan betul," kata Ilya kepada pemberita.