fb fb fb fb fb

ETS 3 ke Johor Bahru mula beroperasi Disember, perkukuh pelancongan Johor

Foto BERNAMA

SEGAMAT, 2 November- Peluasan Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS 3) ke Johor Bahru, Johor dijangka memperkukuh sektor pelancongan negeri, khusus menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek itu kini berada di fasa akhir sebelum mula beroperasi pada pertengahan Disember ini.

Kemudahan berkenaan turut dijangka menyokong peningkatan jumlah pengembara sempena Tahun Melawat Johor 2026.

"Tarikh pelancaran masih dicari kerana terdapat beberapa persiapan akhir yang perlu dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, perkhidmatan ETS ke Johor Bahru akan mula beroperasi selewat-lewatnya pertengahan Disember.

Penambahan mod pengangkutan ini diyakini mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Johor terutamanya di bandar-bandar sekunder seperti Segamat, Labis, Kluang, dan Kulai," kata Anthony kepada pemberita, hari ini.

Ketika ini, persiapan melibatkan aspek teknikal sedang disempurnakan, sebelum pengumuman harga tiket dibuat dalam masa terdekat. 

Laluan ETS yang sebelum ini berakhir di Gemas, Negeri Sembilan kini dilanjutkan ke selatan, sehingga ke Johor Bahru.

Laluan ini melengkapkan jajaran landasan kereta api di pantai barat Malaysia, dengan hentian-hentian utamanya termasuk Segamat, Kluang, dan Kulai, sebelum tamat di Stesen Johor Bahru Sentral.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM