NIBONG TEBAL, 14 Mac- Lebih RM5 juta diperuntukkan kerajaan Pulau Pinang kepada pesawah menerusi Jabatan Pertanian negeri, tahun lalu.
Jumlah itu sekali gus memanfaatkan 5,057 orang pesawah di negeri tersebut.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata peruntukan itu disalur dengan mengambil kira kepentingan dan sumbangan mereka terhadap kelangsungan industri agroteknologi di Pulau Pinang.
Ini termasuk status negeri itu sebagai pengeluar hasil padi tertinggi tahun lepas dengan rekod 4.86 tan metrik.
"Pesawah memang memainkan peranan walaupun menghadapi cabaran tetapi tanpa pesawah. Maka, kita tidak dapat ada beras dan makanan yang mencukupi.
Tahun lepas, kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian telah menyalurkan sebanyak RM4.9 juta. Sebenarnya, ada tambahan RM750,000 lagi, menjadikan peruntukan tahun lepas berjumlah RM5.68 juta," kata Chow kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Rakyat Bersama Pesawah di PPK Sungai Acheh, Nibong Tebal.
Menurut Chow, 60 kursus dan latihan berkaitan penanaman padi turut dianjurkan kerajaan negeri tahun lalu bagi meningkat ilmu berkenaan tanaman padi.
Selain, pelbagai insentif rangsangan turut disalur kepada pesah termasuk penggalak tanaman padi, bantuan infrastruktur pertanian serta khidmat pengembangan serta nasihat teknikal.