SEREMBAN, 14 Mac- Kerajaan Negeri Sembilan terus komited bekerjasama dengan para pelabur serta syarikat korporat untuk membantu golongan yang memerlukan di negeri itu.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, para pelabur dan syarikat korporat dilihat semakin cakna dan menyambut baik usaha itu, dengan tampil memberi bantuan kepada anak yatim serta golongan asnaf pada Ramadan kali ini.
"Saya melihat bahawa program ini iaitu tahun kedua yang kita laksanakan mendapat lebih perhatian daripada pihak industri.
Di samping itu, mereka juga mengadakan program mereka di kawasan masing-masing. Jadi, saya ucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan atas rasa ihsan, untuk sama-sama membantu mereka yang memerlukan," kata Datuk Seri Aminuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui kru RTM pada Majlis Iftar Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Kepada Anak- Anak Yatim dan Asnaf Negeri Sembilan.
Pada majlis itu, seramai 131 anak yatim dan golongan asnaf dari sembilan pertubuhan menerima sumbangan Aidilfitri.