GEORGE TOWN, 3 Mei- Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk melaksanakan bengkel bersama pemegang taruh untuk memuktamadkan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Bengkel yang dijangka akan berlangsung dalam masa seminggu dua lagi itu dijalankan berikutan terdapat beberapa pindaan pada pelan asal projek tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bengkel itu juga bertujuan untuk memuktamadkan jajaran yang terlibat agar kerja-kerja pengambilan tanah, memuktamadkan reka bentuk dan lokasi stesen dapat dilakukan.
Ia sekaligus membolehkan kerja-kerja berkaitan projek infrastruktur transformatif itu dapat dijalankan dengan lancar.
Menurutnya, beberapa jawatankuasa melibatkan kerajaan negeri, MRT Corp dan beberapa agensi lain yang terlibat akan dibentuk.
“Hari ini, MRT Corp memberi taklimat kepada Majlis Tindakan Pembangunan Negeri berhubung projek LRT.
“Selepas keputusan Kabinet (untuk meluluskan projek LRT), MRT Corp telah melakukan kerja teknikal dan mencadangkan beberapa pindaan kepada pelan asal SRS Consortium serta penyambungan ke Penang Sentral,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Ketua Menteri I, Jagdeep Singh Deo di George Town.
Turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang diambil alih Kerajaan Persekutuan dengan MRT Corporation dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.