TAWAU, 3 Mei - Tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ketiadaan lampu jalan selain jalan raya tidak rata dan berlubang di Jalan Merotai, Tawau.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah berkata, keadaan tersebut boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Liew berharap, perkara itu diberi perhatian susulan jalan itu juga kerap berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kematian.
"Saya mahu perkara ini disegerakan untuk dikemukakan kepada pihak-pihak berkenaan supaya jalan raya tu dapat diratakan dengan segera walaupun tidak dapat sepenuhnya ditar semula tetapi sekurang-kurangnya yang mana lubang diperbaiki," katanya kepada RTM.
Liew membuat gesaan itu seleps menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut berdekatan Ladang Tiger Merotai pada 28 April lalu di Tawau.
Kemalangan itu meragut nyawa seorang penunggang motosikal, 21 tahun yang meninggal dunia di tempat kejadian ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja dari bandar Tawau.