fb fb fb fb fb

Pulau Pinang beri bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri

GEORGE TOWN, 6 April- Seramai 7,078 penjawat awam Pulau Pinang bakal menerima bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,500 sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, BKK yang akan dibayar pada 17 April nanti itu turut diberikan kepada semua petugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri.

"Menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam, kerajaan negeri bersetuju meluluskan BKK yang dianggarkan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10.95 juta kepada kerajaan negeri.

"Pemberian yang bakal dibayar pada 17 April ini turut dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, selain anggota perkhidmatan awam negeri, penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina Pulau Pinang turut menerima BKK sebanyak RM300.

(Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow / FOTO BERNAMA)

Katanya, selain sebagai persediaan menyambut Syawal yang lebih bermakna pada tahun ini, BKK tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua anggota perkhidmatan awam negeri atas sumbangan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Media Baharu