BESUT, 2 Jun – Pulau Perhentian kembali menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara sempena cuti persekolahan dan cuti umum yang bersambung minggu ini.
Tinjauan RTM mendapati kawasan itu dibanjiri pelawat sejak awal pagi, menyebabkan pengusaha bot tidak menang tangan memenuhi permintaan perkhidmatan ke pulau berkenaan.
Malah, ada pelancong yang terpaksa menunggu sehingga tiga jam di Jeti Kuala Besut untuk menaiki bot ekoran jumlah pengunjung yang luar biasa.
Rata-rata yang ditemui memilih untuk melancong dalam negara kerana lebih menjimatkan dan pada masa sama dapat membantu merangsang ekonomi tempatan.
Menurut pelancong tempatan, Rozita Mohamad, melancong di dalam negara mampu memberi impak positif terutamanya kepada para peniaga tempatan.
"Kalau kita berbelanja dalam negeri, ekonomi tempatan pun berkembang. Tidak perlu berbelanja ke luar negara. Kita ambil manfaat kelebihan yang ada dalam negara sendiri,” katanya.
Salah seorang pelancong, Fauzi Mazlan, turut berkongsi pandangan bahawa terdapat banyak tempat menarik dalam negara yang belum diterokai sepenuhnya.
“Saya rasa di Malaysia masih banyak tempat menarik yang belum saya lawati.
"Jadi tak salah kalau kita bantu industri pelancongan tempatan. Lebih berbaloi dan lebih jimat. Ini kali pertama saya ke sini dan dari segi pemandangan dan pengalaman, memang berbaloi,” ujarnya.
Bagi Masyitah Mokhtar pula, beliau berpendapat bahawa Malaysia memiliki semua tarikan yang dicari oleh para pelancong.
“Sebenarnya, Malaysia dah cukup lengkap. Apa yang ada di luar negara seperti paragliding atau snorkeling semua ada di sini.
"Malah dengan harga yang jauh lebih murah. Tidak perlu pergi jauh ke Thailand atau Indonesia, kita boleh bantu ekonomi negara kita sendiri,” katanya.
Untuk rekod, pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Perhentian dibuka kepada pelawat mulai Mac lalu dan dijangka menerima kunjungan sehingga Oktober depan, sebelum ditutup semasa musim tengkujuh.
Antara aktiviti popular yang ditawarkan termasuk snorkeling, selaman bebas dan mendaki.