fb fb fb fb fb

PDRM junjung kasih titah YDP Agong

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merafak sembah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu semua agensi penguat kuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, titah Seri Paduka Baginda itu peringatan yang bertepatan dengan prinsip PDRM, iaitu ‘Tegas, Adil dan Berhemah’, dalam melaksanakan tugas demi menegakkan undang-undang dan mengekalkan keamanan negara.

“PDRM amat menitikberatkan nilai integriti sebagai tunjang utama dalam setiap tindakan warga pasukan. Integriti adalah amanah dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap anggota PDRM, sejajar dengan ajaran Islam yang menuntut kejujuran, keikhlasan dan keadilan dalam setiap urusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PDRM akan terus berusaha mempertingkat integriti, memperkukuh tadbir urus yang baik dalam pasukan itu serta memerangi sebarang bentuk salah laku demi memastikan imej agensi keselamatan berkenaan sentiasa dihormati rakyat.

“PDRM berdiri teguh di belakang titah Seri Paduka Baginda dan menegaskan bahawa setiap anggota PDRM akan terus menghayati nilai-nilai murni dalam menjalankan tugas untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN