LABUAN, 20 Disember – Program Usaha Jaya Insan (PUJI) Labuan terus menjadi platform penting dalam memperkasa komuniti setempat melalui pembangunan pelancongan berasaskan identiti tempatan.
Penasihat Undang-Undang Perbadanan Labuan, Suhaimi Sainan, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PUJI, serta mengucapkan tahniah kepada 67 peserta yang berjaya menamatkan kursus latihan program tersebut.
PUJI menekankan kekuatan identiti tempatan yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan melalui koperasi dan usaha komuniti, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi mampan kepada masyarakat setempat.
Program ini bertujuan meningkatkan siling pendapatan rakyat di Wilayah Persekutuan dengan memberi fokus kepada pendayaupayaan individu dalam bidang eko-pelancongan berasaskan ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil PUJI Labuan Fasa 2.
Melalui pendekatan bersepadu ini, PUJI bukan sahaja membantu menjana pendapatan, malah turut memperkukuh jati diri komuniti serta menyokong pembangunan sektor pelancongan Labuan secara inklusif dan berterusan.
PUJI merupakan inisiatif di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa dan Kementerian Perpaduan Negara, dipantau oleh Perbadanan Labuan.