KUALA LUMPUR, 20 Disember - Kerajaan menegaskan perceraian bukan jalan pintas untuk menyelesaikan konflik dalam kalangan masyarakat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, sebarang istilah atau pendekatan yang boleh mengelirukan masyarakat serta menormalisasikan perceraian perlu ditangani secara berhemah dan bertanggungjawab.
Beliau menekankan bahawa perkahwinan merupakan ibadah dan amanah besar, memberi implikasi langsung terhadap kesejahteraan emosi, sosial dan spiritual pasangan serta anak-anak.
Menurutnya, penyelesaian konflik rumah tangga hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan berlandaskan syariah, merangkumi nasihat, proses sulh, pelantikan orang tengah daripada kedua-dua keluarga serta kaunseling profesional.
Dr Zulkifli menjelaskan bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dan Mahkamah Rendah Syariah menyediakan perkhidmatan rundingan serta bimbingan berautoriti untuk membantu pasangan sebelum sebarang keputusan besar seperti perceraian dibuat.
Dalam masa sama, agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia termasuk KSKCare Centre turut menawarkan khidmat kaunseling berstruktur dan profesional, selain Kursus Pascaperkahwinan Islam sebagai platform bimbingan berterusan kepada pasangan.
Beliau mengingatkan semua pihak agar berhati-hati menggunakan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam supaya tidak menimbulkan salah faham dalam masyarakat.
Kerajaan turut menegaskan kepentingan menghormati proses undang-undang, menjaga adab perbincangan serta mengelakkan sebarang bentuk spekulasi yang boleh menjejaskan maruah individu dan keharmonian masyarakat, demi memastikan institusi keluarga Islam terus terpelihara sebagai teras kesejahteraan ummah.