fb fb fb fb fb

Karnival Sukan HAWANA 2025 wadah perkukuh perpaduan media

Arul Rajoo Durar Raj

KUALA LUMPUR, 20 Disember - Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 wadah untuk memperkukuh perpaduan serta semangat kalangan media dari seluruh negara selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media.

Pengarah Projek HAWANA 2025 yang juga Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj berkata, karnival itu memberi peluang kepada pengamal media untuk berinteraksi di luar rutin tugasan harian dan memperkukuh hubungan profesional.

"Acara ini diadakan untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan pengamal media. Kita tahu hampir setiap hari mereka sibuk dengan tugasan masing-masing, tetapi hampir semua pasukan mengambil peluang untuk menyertai sukan kali ini.

"Ia lebih meriah dan bukannya sekadar pertandingan kompetitif, sebaliknya bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Sukan HAWANA 2025 di IWK Eco Park, Pantai Dalam di ibu negara hari ini.

Hari ini, pertandingan bola sepak dan bola jaring berlangsung dengan penglibatan 12 pasukan termasuk RTM, BERNAMA, Media Prima, Astro Awani dan IKIM, serta penyertaan dari Kedah dan Perak.

Seorang peserta mewakili RTM Azrul Bahari Ayeop Kharun Anuar yang bertugas sebagai jurukamera menyifatkan karnival itu sebagai peluang kepada pengamal media untuk menyeimbangkan tuntutan kerja dan kesihatan.

"Karnival sukan HAWANA ini bagus kerana ia memberi peluang kepada kami sebagai pengamal media, yang sibuk dengan tugasan harian, untuk bersukan sambil mengekalkan gaya hidup sihat," katanya.

Seorang lagi peserta DJ Radio BERNAMA Natasha Aimee, berharap penganjuran akan datang dapat melibatkan lebih banyak agensi media.

"Kami berharap lebih banyak agensi media akan turut serta pada masa akan datang. Saya rasa ini merupakan satu peluang baik bagi pengamal media untuk meluangkan masa bersama.

"Kita semua tahu tugas wartawan dan petugas media sangat sibuk, jadi apabila ada aktiviti seperti ini, sekali atau dua kali setahun, ia memberi ruang kepada mereka untuk berkumpul dan berinteraksi," katanya.

Secara keseluruhan, kira-kira 500 pengamal media menyertai Karnival Sukan HAWANA 2025.

Program anjuran Bernama sempena HAWANA 2025 itu dimulakan dengan pertandingan boling pada 14 Disember diikuti acara bola sepak dan bola jaring hari ini di IWK Eco Park, Pantai Dalam.

Sementara itu, acara permainan tradisional dijadualkan berlangsung esok bermula 8.00 pagi, di lokasi sama (IWK Eco Park).

Antara permainan tradisional yang dipertandingkan ialah tarik tali, galah panjang, tuju tin, dam haji, congkak, dam ular dan untai gelang getah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI