BATU KAWAN, 20 Disember – Semua aspek hala tuju pembangunan di Pulau Pinang akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, dengan perancangan dibuat berdasarkan kajian terperinci merangkumi statistik semasa serta keperluan masa depan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata walaupun negeri itu muncul sebagai peneraju dalam pelbagai bidang pembangunan, aspek kesejahteraan rakyat kekal sebagai matlamat utama kerajaan negeri.
Menurut beliau, pelaksanaan pelbagai projek mega di Pulau Pinang sentiasa disertakan dengan penekanan terhadap keperluan asas rakyat, tanpa mengabaikan faktor lain seperti alam sekitar dan keseimbangan pembangunan.
“Kita mahukan perancangan yang lebih teratur supaya pembangunan dapat dikawal dengan baik. Melalui langkah mitigasi dan intervensi yang sesuai, rakyat dapat menikmati hasil pembangunan tanpa menjejaskan kesejahteraan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Taklimat Kajian Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 Kajian Semula (Peringkat Tinjauan Semula) Kadun Bukit Tambun.
Chow menegaskan, kerajaan negeri komited memastikan setiap pelan pembangunan yang dirangka bersifat inklusif dan mampan, selari dengan aspirasi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri maju yang sejahtera untuk semua lapisan masyarakat.