SHAH ALAM, 24 April- Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjadi penyumbang utama kepada peningkatan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di negeri itu.
Selangor telah berjaya mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.59 berbanding 4.67, pada tahun 2023.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, pencapaian cemerlang itu hasil usaha berterusan kerajaan negeri menumpukan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) bagi mendapatkan akses pendidikan tambahan.
Jelasnya, langkah itu sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negeri.
"Kita akan pergiatkan lagi, sesuai dengan hasrat meningkatkan kualiti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Maka, pada masa hadapan kita akan meningkatkan atau menambah mata pelajaran tuisyen rakyat berkait STEM.
Sekarang, kita sudah ada subjek Matematik Tambahan dan mungkin kita boleh tambah Biologi, Fizik dan sebagainya," kata Amirudin kepada pemberita pada sesi pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM, di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, kerajaannya turut menyasarkan penambahan bilangan pelajar menyertai PTRS, dari 130,000 kepada 200,000 pelajar dalam tempoh lima tahun.
Bilangan calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM juga menurun, dari 1,221 berbanding 1,700 pada tahun 2023.
Calon berkenaan kerajaan negeri akan mengenal pasti pelajar tersebut bagi memberi peluang mereka menduduk peperiksaan SPM Ulangan pada Julai tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Dr. Jafri Abu berkata bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki meningkat dari 2,005 calon (3.15%) pada tahun 2023 kepada 2,368 calon (3.65%) tahun ini, peningkatan seramai 363 calon, 0.5 peratus.
Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 8,490 calon (13.08%) pada tahun 2024 berbanding 8,362 calon (13.12%) tahun lalu.
"Seramai 22,501 calon (34.67%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2024 berbanding 21,071 calon (33.06%) pada 2023.
Calon yang layak menerima sijil juga meningkat iaitu 59,403 calon (91.53%) berbanding 58,082 calon (91.14%) pada tahun 2023, peningkatan sebanyak 1,321 calon (0.39%)," kata Dr. Jafri kepada pemberita, hari ini.
Bagi calon berkeperluan khas pula, seramai 242 layak mendapat sijil daripada 336 calon.
Di Selangor, seramai 73,799 calon telah mendaftar peperiksaan SPM bagi tahun 2024 manakala sebanyak 494 pusat peperiksaan disediakan melibatkan 7,651 petugas peperiksaan.