PUTRAJAYA, 24 April - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengeluarkan produk makanan dari Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi atau porsin, jika didapati berada dalam pasaran tempatan.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya telah menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada KPDN bagi pemantauan dan penguatkuasaan agar dapat dihindarkan daripada masyarakat pada kadar segera.
"JAKIM juga bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri ada pegawai yang dilantik sebagai penguat kuasa perihal dagangan ini akan dilaksanakan secara serentak secara bersama. Bukan sahaja di Lembah Klang malah di seluruh negara.
"Saya sendiri dapat berhubung dengan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dan kita telah salurkan maklumat-maklumat yang diperlukan bagi pemantauan penguatkuasaan dan membuat liputan dimana ada produk ini untuk dapat kita hindari masyarakat Islam daripada terbeli," kata Dr. Sirajuddin.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di sini.
Terdahulu, JAKIM telah menyeru para pengimport yang terlibat agar segera menghubungi pihaknya dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit daripada pasaran Malaysia.
Pada masa sama, seramai 377 penerima daripada sembilan buah agensi bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri diraikan pada majlis tersebut.
Ia termasuk, warga kerja JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan lain-lain.
Anugerah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.