GEORGE TOWN, 24 April- Kerajaan sedang menstrukturkan semula jawatan dan mengkaji semula ketidakseimbangan agihan dalam Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan perjawatan doktor pakar mencukupi.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara itu antara langkah diambil bagi menampung keperluan semasa tanpa perlu bergantung kepada tenaga pakar dari luar negara.
Bagi menyokong hasrat itu, usaha yang dilaksanakan termasuk mewujudkan jawatan baharu, pelaksanaan latihan kepakaran untuk mengenal pasti kawasan yang mengalami kekurangan pakar.
"Pensukturan perjawatan pegawai perubatan dan pakar sedia ada dengan kajian penyelewengan yang kita lakukan. Kita dapat melihat kelompongan atau kekurangan pakar-pakar KKM ketika ini memperhalusi polisi-polisi masa depan.
"Ketersediaan pada masa depan dilihat akan membantu perkhidmatan-perkhidmatan yang akan kita guna pakai juga kepakaran yang terdapat di pihak swasta berdasarkan pengalaman yang berlaku ketika COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Perasmian Program Miracle Baby misi kedua di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa latihan kepakaran terus dilaksanakan, dengan lebih 1,650 slot ditawarkan bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan.
Sejak 2023, kerajaan turut meluluskan sebanyak 800 jawatan pakar setiap tahun bagi memenuhi permintaan dalam pelbagai bidang.
Selain itu, pindaan Akta 50 turut membolehkan pelaksanaan laluan alternatif bagi melahirkan pakar tempatan.
Sehingga kini, seramai 692 pakar telah menggunakan laluan tersebut, manakala 6,211 pegawai perubatan sedang menjalani latihan kepakaran.
Pada masa sama, KKM akan melancarkan inisiatif 'Perkhidmatan Rakan KKM' pada Julai depan.
Ia merupakan model 'premium ekonomi' yang membolehkan pakar swasta menggunakan fasiliti KKM dengan sedikit bayaran, sebagai salah satu usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kepakaran.