KUALA LUMPUR, 24 April- Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan tegas dan serta-merta telah diambil ke atas semua yang terlibat.
"Kecuaian ini tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang adalah lambang kebesaran dan kedaulatan negara," menurut kenyataan itu.
KPM memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan mengarahkan laporan analisis yang dicetak dikembalikan semula dan pembetulan segera dilakukan.
Terdahulu, paparan dalam muka surat 14 dan 15 dan menunjukkan Jalur Gemilang tidak betul berikutan beberapa keping imej tersebut dijana kecerdasan buatan (AI).