fb fb fb fb fb

PTPTN yakin capai sasaran deposit SSPN bernilai RM150 juta

(Foto hiasan)

PETALING JAYA, 30 Oktober- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin capai sasaran jumlah deposit simpan SSPN bernilai RM150 juta sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, BMS 2022 dengan slogan 'Jom Jadi Superhero Anak Anda', dilaksanakan secara lapangan pada 1 dan 2 oktober 2022 serentak di 14 negeri di seluruh negara.

Program itu juga diadakan secara dalam talian bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober dalam usaha menyebar luas manfaat simpan SSPN kepada orang ramai.

"Ini adalah bagi mengajak ibu bapa agar menjadi hero untuk anak-anak dalam konteks perancangan kewangan melalui penabungan awal agar anak-anak berjaya melanjutkan pengajian tanpa dibebani oleh masalah kewangan.

"Ibu bapa perlu imbangi aspek ekonomi dan pendidikan dikala ekonomi yang mencabar pada masa kini. Keupayaan ibu bapa untuk membuat perancangan yang bijak merupakan elemen yang penting dalam kehidupan seharian bagi memastikan kita mampu memenuhi keperluan pada masa hadapan."

(Ahmad Dasuki Abdul Majid, pada majlis Bulan Menabung Simpanan SSPN 2022)

Beliau berucap sempena Majlis Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia secara dalam talian.

Tambah Ahmad Dasuki, sempena bulan menabung tahun ini, PTPTN turut melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Program Junior Superhero Simpan SSPN Peringkat Negeri Terengganu tahun 2022.

Melalui program itu, PTPTN memberi sumbangan akaun simpan SSPN Prime berjumlah RM100 kepada kelahiran bayi baharu bulan Oktober 2022.

Program itu bertujuan untuk menanam budaya menabung dan memberi kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan.

 

 

Media Baharu