fb fb fb fb fb

Nilai semula tindakan gantung lesen pemandu kenderaan perdagangan terlibat kemalangan - Nor Aizam

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digesa menilai semula tindakan menggantung lesen pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan, selagi siasatan masih belum selesai.

Presiden Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia, Nor Aizam Abd Kadir berkata, langkah tersebut memberi tekanan kepada golongan pemandu yang bergantung kepada pekerjaan itu sebagai sumber rezeki utama.

“Apabila lesen digantung, mereka hilang punca pendapatan. Mana mereka nak cari makan? Ada antara mereka juga buat kerja lain seperti menoreh getah atau bersawah padi. Kita kena fikir dari sudut tanggungan dan tekanan ekonomi yang mereka hadapi,” katanya.

Beliau menegaskan, walaupun siasatan sedang dijalankan, pemandu seharusnya dibenarkan meneruskan tugas seperti biasa sehingga keputusan muktamad dicapai.

Sebelum ini, JPJ mengumumkan lesen pemandu kenderaan perdagangan boleh digantung serta-merta sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan yang sedang disiasat. Langkah ini dilaksanakan atas faktor keselamatan jalan raya, bagi memastikan hanya pemandu yang benar-benar layak dibenarkan terus memandu.

Bagaimanapun, Nor Aizam menegaskan tindakan itu tidak seharusnya dilihat secara umum tanpa mengambil kira beban hidup pemandu, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.

Beliau turut menyeru pihak berwajib, khususnya JPJ, agar meneliti semula peraturan sedia ada demi menjamin kebajikan pemandu yang terlibat dalam kemalangan tetapi belum disabitkan sebarang kesalahan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI