JOHOR BAHRU, 7 Julai –Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia) mendedahkan, secara purata sebanyak 15 kes penyeludupan bahan radioaktif dikesan setiap tahun, dengan kebanyakannya berlaku di Pelabuhan Klang, Selangor.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Monalija Kostor berkata, bahan radioaktif seperti Cobalt-60 dan Cesium-137 berjaya dikesan menerusi sistem pemantauan khas ‘Radiation Portal Monitor’ (RPM) yang dipasang di pintu sempadan laut dan darat negara.
“Penyeludup menggunakan pelbagai taktik, termasuk mengisytiharkan barangan lain seperti tenusu, mainan dan tekstil bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kebanyakan kes dikesan di Pelabuhan Klang kerana ia adalah pelabuhan utama bagi urusan import dan eksport,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025, hari ini.
Menurut beliau, bahan radioaktif yang diseludup masuk ke negara ini akan dihantar pulang ke negara asal.
"Jika cubaan penyeludupan keluar dari Malaysia pula dikesan, bahan tersebut akan dirampas dan dibawa ke mahkamah untuk keputusan selanjutnya," katanya.
Monalija berkata, kes berkenaan dianggap serius kerana berpotensi mengancam keselamatan rakyat dan negara.
“Atom Malaysia komited memastikan semua bahan radioaktif yang keluar masuk negara dikawal rapi mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya. - BERNAMA