SHAH ALAM, 7 Julai- Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sedang merangka kerjasama strategik bersama beberapa agensi bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang ingkar perintah nafkah.
Ia susulan sebanyak 1,189 aduan pelanggaran perintah nafkah telah diterima oleh Bahagian Sokongan Keluarga Negeri Selangor sejak tahun 2022 hingga 31 Mei 2025.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, agensi terlibat dalam kerjasama itu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta institusi kewangan.
Kerjasama itu penting bagi memudahkan proses pengesanan dan penyitaan aset individu yang gagal mematuhi perintah mahkamah syariah, khususnya melibatkan bayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak anak.
"Pemilihan mekanisme yang tepat dan efisien oleh pihak yang menuntut nafkah khususnya bekas isteri atau penjaga anak adalah antara faktor penting dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan perintah nafkah.
"Kegagalan memilih saluran atau mekanisme yang sesuai boleh menyebabkan kelewatan, kekeliruan dan akhirnya menjejaskan hak penerima nafkah.
"JAKESS sentiasa proaktif dalam mendidik masyarakat agar memahami serta memilih saluran atau mekanisme yang paling sesuai bagi menuntut atau menguatkuasakan hak mereka.
"Penganjuran program literasi undang-undang dan seminar kesedaran secara berkala dan dilaksanakan saban tahun merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Negeri dalam memberikan pendedahan mencukupi sekali gus meningkatkan kadar kejayaan pelaksanaan perintah nafkah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada ADUN Meru Mariam Abdul Rashid pada Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-15 di Wisma Dewan Negeri Selangor, di sini.
Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan hak penerima nafkah terpelihara, selain memperkasa sistem kehakiman syariah yang lebih tegas dan efisien.