KOTA KINABALU, 7 Julai -Kerja lapangan termasuk kerja ukur tanah, pemetaan utiliti dan penyiasatan tanah giat dilaksanakan bagi pembinaan jalan menghubungkan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.
Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya telah meluluskan kajian awal dan reka bentuk bagi projek itu di bawah Rolling Plan ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12.
"Projek membina jalan dari Pekan Pagalunan ke Pekan Sempadan Bantul daerah Pansiangan Sabah diluluskan di bawah program Jalan Luar Bandar pembiayaan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah."
"Sekarang dalam proses perolehan kerja lapangan seperti kerja ukur tanah dan pemetaan dilaksana bagi menyedia data serta maklumat untuk melangkapkan kajian dan reka bentuk projek berkenaan," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, di sini.
Pembinaan jalan baharu itu menghubungkan jalan sedia ada iaitu Jalan Sapulut-Kalabakan ke sempadan Indonesia sepanjang 28 kilometer, termasuk membina satu jalan Sapulut yang akan menghubungkan Kampung Serudung Laut, sepanjang 20 Kilometer.