SHAH ALAM, 7 Julai -Sebanyak 2.8 peratus daripada 36,428 murid sekolah menengah di Selangor dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kemurungan.
Perkara itu didedahkan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaludin, berdasarkan saringan kesihatan mental sesi persekolahan 2024/2025.
Menurut beliau, analisis Saringan Minda Sihat oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mendapati, 1,020 pelajar tersebut menunjukkan tanda-tanda awal kemurungan.
"Berdasarkan analisis, tingkah laku psikososial negatif dalam kalangan murid berada pada tahap yang terkawal.
Intervensi secara berfokus dan aktif telah dilaksanakan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling terhadap murid-murid yang tergolong dalam kategori krisis dan khusus," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini.
Jelas beliau, program intervensi berkenaan turut diperluas ke sekolah rendah, khususnya melibatkan murid darjah lima dan enam.
Ia bertujuan memberi kesedaran awal mengenai kesihatan mental, pembinaan daya tahan diri serta pengukuhan aspek emosi dan tingkah laku.
Pelbagai aktiviti dan pendekatan dilaksanakan termasuk intervensi umum dan amalan gaya hidup sihat seperti sesi bimbingan, teknik relaksasi, latihan pernafasan, senaman serta urutan bahu dan leher.
Program itu juga melibatkan pemerkasaan Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah melalui bengkel kemahiran agar dapat memberi sokongan awal dengan lebih berkesan.