TANJUNG MANIS, 7 Julai -Lima baki mangsa bot karam di Belawai yang dilaporkan hilang sebelum ini, telah berjaya ditemukan pagi tadi, yang memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, penemuan tersebut sekali gus melengkapkan pencarian kesemua mangsa dalam tragedi yang berlaku pada Sabtu lalu.
"Pada pagi ini, kesemua lima mangsa yang dilaporkan hilang pada hari kejadian telah berjaya ditemukan. Penemuan bermula sekitar pukul 6.50 pagi dan mangsa terakhir ditemukan pada pukul 8.30 pagi. Jarak penemuan mangsa adalah dalam lingkungan lima kilometer dari lokasi asal, sama ada yang paling dekat mahupun yang paling jauh," katanya kepada media ketika ditemui di lokasi operasi pagi tadi.
Jelas beliau, kesemua jasad mangsa Rabanai, 51, Muhammad, 35, Asbar, 31, Resky Adrian, 21 dan Ardy, 31, yang merupakan warga Indonesia ditemukan dalam keadaan sempurna.
Tragedi yang meragut 10 nyawa itu melibatkan sebuah bot yang membawa 17 penumpang yang terdiri daripada lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, termasuk barangan.
Superintenden Aswandy turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung dan komuniti nelayan di Belawai atas kerjasama serta komitmen tinggi yang diberikan sepanjang operasi SAR berlangsung.
“Dengan bantuan mereka, operasi dapat dijalankan dengan lebih lancar, dan kesemua mangsa berjaya ditemui dalam tempoh yang singkat, walaupun keadaan di muara laut amat mencabar,” tambah beliau.