KOTA BHARU, 2 November- Polis Kelantan mengenalpasti sembilan kawasan yang dikategorikan sebagai lokasi panas bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun memaklumkan, kesemua lokasi berkenaan, membabitkan tiga kawasan Parlimen dan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata kawasan terbabit disenaraikan berpandukan situasi yang berlaku pada PRU yang lalu.
(Ketua Polis Negeri, Datuk Muhammad Zaki Harun)
"Ini juga bergantung pada apabila selesai proses penamaan calon, kita akan lihat berapa parti akan bertanding siapa akan bertanding, itu akan merubah fokus kerana sekarang ini kita tengok banyak gabungan.
"Jadi yang ini kita perlu lihat juga mungkin ada perubahan dari segi jumlah. Sebagai contoh satu parlimen itu mungkin ditandingi oleh dua yang boleh katakan 'gergasi' contohnya mungkin, satu pertembungan sengit itu kita fokuskan", katanya pada pemberita selepas menjadi tetamu konti KELANTANfm berkait Kesiapsiagaan PDRM-PRU 15 di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Datuk Zaki berkata, pihaknya berkemungkinan akan menambah keanggotaan dan aset di lokasi panas terbabit dalam memastikan PRU15 berjalan lancar dan teratur.
Dalam perkembangan sama, dinyatakan juga Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kelantan telah melaksanakan perancangan khusus bagi memastikan aliran trafik pada hari pengundian dapat dikawal dengan baik.